Es-i-en-ai,
adalah nama hadapanku
terkuis di menara tamu
dengan lukisan-lukisan gadang
puisi-puisi panjang
dan arca-arca telanjang.
Ia dalam kepalaku
adalah sebuah krematorium
cencorot dinamo menguji nujum
bekas-bekas nyawa sedang bekerja
katanya
ini bukan sia-sia
pabila rapuh usia
terjunlah bersama-sama.
Muncul satu panggilan
ketikaku bersarung tenun
mencangkul iman
di mahasastera empunya kebun
dengan logam akal tumpul
menjadi mata pada sebatang lidi
mengintai baris depan
baris atas, dan baris belakang.
'Alif' buarku perlahan
tilik huruf pertama
pada mana-mana karya seni dunia
yang dulu sebelum panggilan
kadang-kadang aku bohongkan
kadang-kadang aku lupakan.
—Pok Pok
28 Okt 2016
Pelabuhan Klang
UNDUR BELAKANG
sedikit
19 Nov 2016
16 Mar 2016
PUISI: Robot Emosi (#Katalistiwa)
Puisi Robot Emosi telah dideklamasikan di acara #Katalistiwa anjuran Kolektif Puisi GilaKata.Persembahan deklamasi puisi mewakili Kolektif GilaKata ini terdiri daripada:
- Syafyn
- Si Jasad
- Anom Rahman
- El Joe
- Bo Affiq
...dan saya sendiri, selaku perunut latar belakang. Ini adalah persembahan puisi eksperimentasi yang diseloka oleh pelbagai nada dan gaya, diulit bersama muzik elektronika dimainkan secara langsung. Jemput tonton videonya!
PUISI: Robot Emosi
Manusia berkongsi nikmat yang sama,
nikmat ini nikmat istimewa,
samada,
engkau anak kecil bermain layang-layang di tengah padang,
atau,
engkau seorang hamba abdi pengangkut barang di dalam
gudang.
Malah malam berganti siang,
sembari rumput bertukar lalang.
Nikmat ini kita kongsi sama-sama,
Jikalau pekak— dipandu gema,
Jikalau sayang— dipandu sukma,
Jikalau jahil— dipandu karma,
Jikalau cacat— dipandu stigma.
Indahnya sebuah nikmat yg Tuhan beri,
nikmat ini abadi dan tak akan pernah basi,
nikmat ini manusia menamakannya dengan nama—
emosi.
Bukankah emosi memancarkan gelombang perilaku?
Bukankah kau dan aku mampu—
bersajak
berbisik
menyanyi
berpidato
menangis
berguling
berteriak
menggigil
mendengus
mengelus
dengan rakus
atau tulus
lalu menyebarkan virus.
Virus-virus emosi pinjaman kepada manusiawi,
bukannya dipinjam kepada robot jerami.
Bangsatnya manusia.
Faham atau tidak emosi itu apa?
Kita tidak serupa dengan seorang robot,
kerana robot tidak punyai emosi,
robot hanya dipenuhi litar-litar elektrik,
pada kepingan kecil proses listrik,
mereka berbunyi—
Tut tut tut tut tut tut!
Tit tit tit tit tit tit tit!
Ah! Perit! Bingit!
Manusia berlumba-lumba mengambil alih tugas seorang
robot,
dek kurang mengerti tentang organ di dalam kawasan ini,
ya di kawasan hati, ini—
memenjara jiwa dalam jeriji senja—
emosinya telah ditiup angin,
terhembus masuk ke kabin,
terkambus masuk ke tanah,
terus lesap daripada darah.
Emosi—
yang kau tekup bersembunyi,
yang kau anggap macam tahi,
yang kau rasa tak akan mati,
yang kau ketawa,
yang kau takut,
yang kau malu-malu,
kau kata emosi masih wujud lagi?
Kau dan aku konon bekerja?
Dari jam lapan ke empat,
dari empat ke dua belas,
dari dua belas ke lapan,
macam binatang gila,
usap ekor, tanduk, dan dada,
menyondol-nyondol seringgit-dua,
itu, kau panggil gembira?
Kau dan aku konon berkasih?
Jauh—tapi patuh,
curang— tapi girang,
bercanda— tapi ternoda,
sunyi— tapi setia,
Bodohnya,
itu, kau panggil cinta?
Kau dan aku konon berkarya?
Tulis
Cetak
Papar
Dengar.
Lukis
Rentak
Siar
Hingar.
Mempermain emosi pembaca,
memutar-mutar sejarah,
memutar-mutar fakta,
menyuntik sastera pura-pura,
kerana upah dan nama,
bagi kau yang sedang leka,
pergilah mampus sama etika.
Etika dah dihantuk-hantuk ke simen bata,
emosi kita dah sesat tanpa deria,
itu, kau panggil riang ria?
Sabar kawan-kawan,
kau lupa ada satu sawan,
dihembus-hembus wirawati wirawan,
menahan amarah mendungukan watan,
kau dan aku kononnya mendukung sosial kesaksamaan?
Tika usaha dan niaga berseri—
dipateri cukai berwarna-warni,
tika pesta dan keraian—
diasing ikut warna badan,
tika bendahari tipu keringat—
direnjat dirembat dilipat disebat,
tika tabung rakyat jelata,
disadur mistik dilabur merata,
itu, kau panggil ceria?
Tuhanku,
rasa takut kepadamu telah dilupa,
emosi kami telah mati terlalu lama,
dan jika manusia terus begini,
kau jadikanlah sahaja kami sebagai robot,
sambungkan wayar-wayar kontot,
sebelum kau habiskan dengan ribut—
biar tak ada yang berkomplot,
biar kawan-kawan semua robot,
nikmat emosimu telah disedut,
oleh hambamu yang semakin kalut.
Nah, kau suluhlah jalanmu sendiri,
sekarang kau pilih detik kendiri,
samada mahu menjadi manusia yang tolol emosi,
atau menjadi sebuah origami elektrik yang berhati besi...
sebagai robot emosi.
—Pok Pok,
26 Feb 2016,
Seremban.
15 Mar 2016
ESEI: Maka, Kita Menulis Kerana Apa?
Jika ditanya mengapa saya menulis, ada
beberapa jawapan diri yang saya sendiri sukar klasifikasikannya. Benar atau
tidak? Kamulah yang harus menentukannya. Kalau ditanya pada mata, jawabnya
kerana mata ini penat melihat bahasa semberono penerbitan yang gah. Kalau
ditanya pada telinga, jawabnya kerana telinga ini penat mendengar celotehan DJ
yang ketawa dengan jenaka mengecewakan dan kekaguman saya akan ucaptama
menteri-menteri. Kalau ditanya pada hidung, jawabnya kerana hidung ini penat
menghidu gula-gula kapas kapitalis dan ideologi yang wangi di luar, tengik di
dalam. Kalau ditanya pada hati, jawabnya kerana hati ini penat menangkis
obsesi. Obsesi pada hati-hati masyarakat yang menganggap apa sahaja obsesi
mereka merupakan suatu obsesi yang konklusi. Dek kepenatan ini, saya tidak ada
cara lain, selain mengangkat pensel lalu berkira-kira tentang kepenatan apa
yang harus saya basmi di atas kertas kosong ini.
Namun seperti biasa, saya tidak mampu
menulis tanpa kehangatan secangkir kopi di sisi. Apakala hirupan meruwap pahit
itu menongkah akal, mungkin jari-jemari saya galak menari dek idea yang mangkin
tersalur indah. Kerusi kosong di hadapan saya tidak berkata-kata, orang-orang
di kedai makan ini semakin ramai dan kipas masih terpusing rancak. Tapi pusingannya tidak
serancak pembuluh darah di dalam otak saya. Otak saya kontang idea. Pembuluh
darah ini barang kali tersumbat akibat kepenatan dunia yang memenatkan diri
mereka dalam kancah hidup selesa mengikut arus perdana, serta ketawa mengikut
humor berselingan kejian semata. Tidak mengapa, penulisan mesti diteruskan.
Orang
kata, lambakan idea-idea banyak terpapar di laman sosial. Mudah. Saya ambil
keputusan untuk menyinggah ke laman Facebook. Susur masa laman itu sarat dengan
gambar. Ada sebuah gambar perempuan separuh bogel sedang bergembira di Pulau
Sipadan. Dadanya membusung dan lubang pusatnya tidak begitu bulat. Ya, dia
ialah kawan saya. 479 like dan 177
komen.
‘Sedapnya kalau dapat bergambar
bersama.’
‘Comelnya awak!’
‘Hai. Terima kasih kerana menerima saya
sebagai rakan FB.’
‘Ah! Saya juga mahu bikini begitu!’
‘Awak, mesej saya jika mahu jadi model
sambilan.’
Cukuplah 5-6 buah komen yang saya baca.
Sebahagiannya ibarat mahu menerkam kawan saya lalu menggesel pipi ke pipi
sambil liur berjejeran. Manakala sebahagian yang lain berkelahi menyatakan
bikini itu tidak sepadan dengan kejelitaan kawan saya. Ada 3-4 buah komen berkenaan
dosa dan neraka, dan komen itu pula dibalas dengan jolokan-jolokan hujah
liberal tidak tentu hala. Jika esok berlakunya kiamat pun, pesta perlu
diteruskan. Saya keliru, walhal ramai juga mereka yang berprofil gambar
berketayap yang juga berstatus kawan mutual
kepada kawan separuh bogel saya itu. Kekeliruan ini tidak boleh diubati dengan
kopi. Lalu saya menyucuh sebatang rokok. Tidak mahal, rokok seludup. Orang
macam saya yang mengelak membayar cukai rokok, membikin kuota permintaan rokok sebegini
meningkat. Salah atau tidak, mereka yang beruniform segak di meja sebelah turut
menghembus asap daripada jenama rokok yang serupa dengan saya. Tiga calit,
berbual-bual dengan dua calit, ditemani seorang lelaki tua bertali leher.
Pentas parti politik dan ideologi ala
intelek juga satu medan perang saudara di Facebook. Cina bodoh makan babi, Singapura mahu takluk Malaya, hak Malaysia hak
Melayu, tanpa bangsa lain negara akan mundur, skandal seks ikon-ikon politikus,
para sosialis demokrat mengumpan teknokrat tegar, wang-wang
berjuta-beribu-berbilion masuk poket sini-sana; cukuplah. Gula-gula rakyat
ultima dan manipulasi ‘berjuang kerana rakyat’ belum bergema. Pilihanraya,
nampaknya masih lambat lagi. Kitaran balas-membalas kata-kata falsafah dan
fahaman politik seperti ular yang giat memakan ekornya sendiri. Dikunyah-kunyah,
namun tidak ditelan. Saya yang gila atau laman sosial ini yang menggilakan? Oh,
sebentar! Saya hampir terlepas pandang seorang kawan saya berkongsi video
amatur rakaman seekor beruk yang menari Cha-Cha. Nah, kalau Darwin masih hidup,
pasti dia juga tertawa, seperti saya. Video itu akhirnya berjaya menenangkan
saya. Cukup tenang. Malah saya juga hampir terlupa tujuan utama saya memiliki
ribuan kenalan di Facebook. Saya hampir terlupa yang saya perlu menulis tentang 'mengapa saya perlu menulis'. Tulisan-tulisan di laman Facebook, sungguh
membahayakan intipati minda saya.
Lelah dengan telahan komen dan status
panjang, saya beransur masuk ke susur masa Twitter. Twitter lebih santai dan
informatif. 140 aksara maksimum untuk 1 tweet. Sebanyak 714 akaun twitter yang
saya ikuti. Barangkali lubuk idea boleh terpacul dari sini. Ibu jari saya giat
menguis-menguis dan sesekalinya menjempol di papan pemuka telefon. Tapi akhirnya, saya masih keliru.
Keliru samada ini adalah Twitter atau
aplikasi sosial sembang-sembang dengan mesej pendek.
‘Aku lapar.’
‘Tiada orang yang rindu saya?’
‘Itulah, sokong lagi parti cina.’
‘Mahathir paling bagus! Kami mahukan
Mahathir!’
‘Kacaknya jejaka kat depan aku ni.’
‘Bangang dan seksi betul, cuba baca link ni: xxxxxx.’
‘Hai, nama awak Aida? I dah lama suka kat you.’
1 jam telah berlalu, dan mata saya masih
terpana di susur masa Twitter. Di mana idea untuk menulis? 3 cawan kopi dan 2
batang rokok telah saya selesaikan. Sekawanan perempuan jelita yang
bertukar-tukar pil di bawah meja, bersebelahan saya tadi pun, sudah pulang. Cuma
asap rokok mereka yang masih kuat berbau. 3 calit dan 2 calit tadi pun sudah
beredar setelah Nasi Kandar beraneka kudapan lauk mereka habis diratah dan
orang tua bertali leher itu yang membayarnya. Sekarang, apakah sebenarnya yang
dunia mahu saya tulis berpaksikan internet dan laman-laman sosial hebat
sebegini, yang masih berkiblatkan obsesi sendiri? Hipokrasi. Itu, perkataan
yang terus muncul. Perkataan itu juga perlahan-lahan berdiri di atas meja saya.
Jari telunjuknya menuding-nuding kepala saya. Ah, mamak! Cepat kira!
Saya harus pulang segera. Idea 'mengapa saya menulis' masih belum kunjung tiba. Degil nampaknya kepala saya malam ini. Dalam kereta,
saya putarkan punat radio. Kita harus berterima kasih kepada pengusaha stesen
radio swasta/kerajaan. Pulas sahaja kepala punat radio di dalam kereta lewat
malam, hujung senja atau seawal pagi hendak ke pejabat, nah, pelbagai pilihan
yang memenuhi selera masing-masing akan tersembul bunyinya.
Bzz..."Liking Liking Poking Poking baginya"
Bzz... "Ku Jejak, Jalan Yang Berliku"
Bzz... "Sexy and I know it... Cetup Cetup"
Bzz... "Bring me up, Buttercup Babeh"
Bzzz...
...dan banyak lagi kalau hendak disenaraikan satu-persatu. Macam-macam.
Seawal pagi semasa bersiap bekerja, di dalam kereta, di dalam pejabat, di
tempat makan, di dewan kuliah bertemankan earphone,
di stesen minyak dan tidak lupa juga tatkala berada di rumah. Hidup kita tanpa
kita sedari, dihujani alunan celotehan DJ dan lagu putaran mereka melalui
corong radio. Persoalannya, yang mana satukah stesen radio pilihan saya untuk menyuntik idea-idea penulisan saya. Hal ini kerana,
telinga dan tahi telinga manusia itu berbeza-beza. Ada telinga yang capang, ada
telinga yang kecut, ada tahi telinga yang kering dan ada tahi telinga yang
basah. Telinga saya, comel-comel sahaja. Hatta, sangatlah subjektif pendirian
seseorang terhadap stesen radio pilihan hati (dan telinga) mereka (juga saya).
Industri hiburan Malaysia masih dengan dasar tertutup.
Mengapa? Jika lagu Jimmy Palikat yang sudah berzaman-zaman dicipta tetapi jika tidak
diangkat oleh peserta Maharaja Lawak, maka seantero Malaysia tidak pernah kenal
pun siapa itu Jimmy Palikat. Bagaimanakah artis muzikal eksperimentasi seperti
Monoloque (dahulunya cebisan Butterfingers), Maharadja (Tamil) atau Pop Shuvit
(New Age) hendak menembusi hati
pendengar dengan kualiti muzik mereka yang agak baik jika hanya penumpuan stesen
radio tempatan mengamalkan double-standard
terhadap jenis bahasa, lagu, selebriti dan kaum tertentu.
"Pilu... pilu sepilu-pilunya, mungkin engkau tak mengerti...
Ohooo...!"
Tanpa sedar, bibir saya terikut sama bersiul lagu itu. Setan!
Sedap pula lagu tu! Tenanglah wahai jiwa. Saya harus putarkan punat radio lagi agar
idea menulis boleh seimbang. Eh, terkeluar runut tamil. Kedai mamak tadi mesti suka
lagu ini. Macam-macam ada di radio. Itu belum lagi cerita tentang cara hidup
dan isu semasa mengikut kaum dan kawasan. Contohnya, artis Kugiran Tamil yang
mampu menghasilkan kualiti muzik seperti Kitaro, rasanya terlampau kurang orang
kita tahu. Cerita melodi dan alat muzik Kadazan atau Iban yang dikomersialkan, yang
itu, saya juga tidak tahu. Jadi, jika stesen radio pun tidak menyumbang kepada
perpaduan dan pengetahuan sesama masyarakat satu negara, tidak hairanlah
pergaduhan dan perselisihan faham dengan beraspekkan kaum, agama serta kenegerian
berlaku di mana-mana di Malaysia. Yang mana masih ada di segenap jantung
masyarakat kita hanyalah: Aku orang
melayu. Kau cina. Aku Sabah Bah. Kau Kelantan negeri perogol. Kami Hokkien dan
kami bangga dilabel ‘banana’. Kamu semua Singh. Kau totok negeri
pembangkang. Aku islam, syurga tempatku, kamu pula ke neraka!
Syukur, saya, masih di bumi.
Saya matikan radio dan teruskan perjalanan ke rumah. Stesen
pilihan radio saya yang aktif berbicara isu semasa juga hanya memutarkan
lagu-lagu pelik dan seolah-olah ingin menjadi stesen ter-hipster dan
ter-intelektual nasional. Radio pun gagal menyumbangkan idea kepada saya untuk
membakar api kobaran saya untuk menulis, mengapa saya perlu menulis.
Tiada lagi tempat sesejahtera syurga atau sebahang neraka
selain rumah sendiri. Saya perlahan-lahan, campakkan satu-persatu barang di saku celana ke atas
meja makan. Peti ais, hanya ada sebotol air sejuk dan sandwic yang sudah 2
minggu luput tarikhnya. Mee segera? Terpaksa. Tapi, saya tetap kecewa. Lalu saya
berbaringan di sofa. Buku-buku di rak pula kini memandang saya dengan pandangan
yang sinis. Hampir 2 buah petak-ruang rak buku yang saya belum habis
membacanya. 20 buah buku itu memandang saya tanpa jemu. Cuma saya yang
semakin jemu memandang mereka. Buku yang lain, sudah tidur. Saya sudah
membacanya. Saya berdiri di hadapan rak kerana tercabar dengan pandangan sinis
lagi memberahikan buku-buku yang masih terjaga. Saya tahu, ya kalian juga tahu,
hanya dengan cara membaca dapat membanjiri idea untuk kita sama-sama terus
menulis.
Saya ambil buku Nyanyian Seruling karya Rumi—saya belek, pening,
dan saya letak semula.
Saya ambil buku Para Perempuan Perkasa karya Ready
Susanto—saya belek, tebalnya, dan saya letak semula.
Saya ambil buku Frekuensi Proletar karya Azhar Ibrahim dan
Achmed Adam—saya belek, metafora pelik betul, dan saya letak semula.
Saya ambil buku Kumpulan Certot Gila terbitan Lejen
Press—saya belek, tak gila pun, dan saya letak semula.
Saya duduk kembali ke sofa, saya ambil alat kawalan jauh,
tekan, dan TV pun menyala. Rancangan ulangan drama cinta 13 episod slot Akasia.
Saya tekan alat itu lagi, terpacul rancangan temubual menjengkelkan kelolaan
selebriti negara. Saya tekan sekali lagi, JDT beli pemain handalan baharu,
hebat cengkaman institusi raja-bola sepak negeri itu.
Saya, tertidur.
Tanpa sempat menghadap Tuhan, tanpa mengecaj telefon, tanpa
membaca apa-apa, tanpa makanan berkhasiat di peti ais, tanpa sebarang hasil
tulisan, tanpa siaran radio yang memuaskan, tanpa rancangan TV memikat hati, tanpa
berita gembira di internet, tanpa asakan manifesto pilihanraya pada masa
terdekat; saya pun terjaga. Selepas kamu dan saya membaca sama-sama kisah pencarian pokok penulisan ini, jangan-jangan kamu sudah ber-idea yang kamu
perlu menulis kerana apa. Ya, kerana saya juga sekarang tahu...
'kenapa saya harus menulis?'
***
4 Feb 2016
Buku Jalanan Seremban: #BongkaAnakMudo

***
BUKU JALANAN SEREMBAN 2016
Pinjaman buku secara percuma* + Pasar Percuma* + Diskus i#BongkaAnakMudo + Potluck
'Bongka' ialah dialek nogori yang bermaksud 'bangkit', 'bangun' dan semaksudnya dengannya. Diskusi #BongkaAnakMudo 2.0 kali ini mengangkat isu "Tanggungjawab Sosial" bersama jemputan spesel:
1) Syed Azmi
2) Baitul Syifaa
3) Nurrul Faiz (Pok Pok)
4) Jamal Haploid Democritus
Apa definisi "tanggungjawab sosial" bagi waghih semuo??? Komplen kat fb grup beli air pasar malam seringgit setengah tapi tawar? Tolong pakcik tua yang jual tisu? Bantu share info semasa di media sosial?
Ruang kali ini akan diadakan di padang layang-layang / buih-sabun bersebelahan tapak tempat letak kereta utama City Park S2. Tolong SEBARKAN, jemput HADIRKAN DIRI dan bawa SUARA, JIWA serta makanan/minuman potluck!.
***
1 Feb 2016
ESEI: Perbandingan Sastera Tidak Seimbang

Masyarakat yang melabel diri mereka lebih sastera daripada sastera lain ialah masyarakat yang gagal. Malah membakul-sampahkan sesebuah karya yang diperbandingkan dengan subjek perbandingan yang salah adalah satu tragedi memilukan sastera itu sendiri. Umpama membandingkan kecomelan kucing dan kecomelan anjing. Poster tidak sedar diri di atas saya petik dari akaun Facebook 'Wiyaz Mihaz' yang cuba menunjukkan beliau mempunyai sepasang kaki sastera yang kukuh untuk menerajang sebuah bakul sampah yang diisi oleh sastera yang diludahnya. Abang dan kakak-kakak sastera sekalian, ini yang mahu saya sampaikan.
1. Novel SALINA bukanlah novel yang susun atur sasteranya baik. Malah novel itu tergolong dalam label sastera-popular. Malah dalam penilaian untuk mengangkat Samad Said menjadi Sasterawan Negara, novel SALINA bukanlah pemberat yang utama.
2. Satu lagi masalah di Malaysia adalah marhaen gemar membuat perbandingan tidak setaraf. Karya Shanon Ahmad dan Usman Awang seharusnya dibanding dengan karya penulis lebih muda seperti Dr. Anwar Ridhwan atau SN yang baharu, Zurinah Hassan, atau dengan ramai lagi penulis-penulis golongan kiri yang baik tulisannya. Mengapa bandingkan sastera-tulen yang diiktiraf DBP dengan karya sastera-pop cinta?
3. Tahukah anda bahawa Kedai Buku di dalam DBP itu sendiri menjual karya-karya penerbitan sastera-pop cinta. Malah tidak terhitung dek jari-jemari bilangan karya dan penerbit yang berlumba-lumba diberikan rak khas oleh DBP untuk mempamerkan buku-buku mereka. Apa prinsip DBP sendiri dalam perihal ini? Masih salahkan industri? Jika begitu, sejauh mana penetrasi sastera-tulen (konon tulen) itu menembusi kedai-kedai buku di Malaysia? Ya, menyedihkan.
4. Perkara ini bukan baharu. Bukan hanya seputar untuk isu perbukuan. Terpalit juga bagi isu muzik, drama, filem, teater dan sebagainya. Ada orang mendengar muzik bukan di radio, ada orang menaruh seleranya pada radio. Radio pula ada bermacam-macam stesen. Jangan kau bandingkan mereka yang telinganya dipateri di HotFM dengan orang yang mendengar BFM. Jangan juga kau bandingkan orang yang dengar BFM dengan orang yang taksub Jazz & Klasikal. Jangan. Sebab? Perbandingannya tidak setaraf.
5. Yang membaca sastera-pop mengatakan sastera-tulen (konon tulen) terlalu berat syok sendiri dan tidak berjaya ayak emosi melalui persekitaran. Yang membaca sastera-tulen (konon tulen) pula mengatakan sastera-pop dan sastera-marjinal adalah golongan rendah, sampah, lemah. Ada kitarannya. Macam gagal bertemu noktah. Hanya tanda seru yang berjujuk-jujuk.
6. Sejauh manakah kemudahan masyarakat untuk mendapatkan karya-karya yang kononnya berkualiti tinggi dan tak lekang zaman tersebut? Boleh dibeli di kedai buku PKNS? Mudah didapati di kedai buku Popular? Atau mempunyai berjujuk-jujuk rak khas di kedai Kinokuniya? Perjuangan apakah yang sedang disentimenkan masyarakat dan DBP itu sendiri jika kita yang mahu dapatkan buku-buku yang mempunyai nilai sastera berkualiti ini, sesukar kita bernafas di dalam air laut yang meninggi? Malah sesiapa yang memiliki buku-buku tersebut mengatakan beliau sudah cukup langka (rare) dan unggul (hipster) lalu memperkotak-katikkan karya lain yang bersepah di pasaran. Sedangkan, mereka sendiri tidak membicarakan karya yang dimilikinya itu apatah lagi mahu berkongsi dengan masyarakat lain. Baik beli buku sastera pop-cinta kerana itukan lebih mudah? Itu, kata pengunjung kedai buku arus perdana. Zaman syok sendiri di bawah tanah dan narsisis terhadap karya langka anda tidak menyelesaikan isu sampah ini sehingga bila-bila.
7. Dasarnya, mengapa tidak dibina jambatan merentasi label-label dan fahaman ini? Karya pertengahan di antara ketiga-tiga golongan (atau label) mesti diangkat segera. Bukan sahaja dalam perbukuan, malah dalam industri seni lain. Kerana tanpa jambatan, pulau tidak bersambung. Kerana budaya sampah-mempersampahkan sesama sendiri, merobohkan jambatan yang baru hendak dipasakkan tiangnya.
Kesimpulannya, mereka yang membandingkan kedua-dua label buku seperti poster itu ialah mereka yang menjerit meminta tolong kepada dunia di dalam tin kosong, menunggu sebuah lori kontena untuk melenyekkannya dengan omong.
BAMMM!!!
Mati.
4 Nov 2015
CERTOT: GILA
Buku himpunan cerpen daripada segerombolan penulis.
'GILA: Kumpulan Cerita Kontot', terbitan LEJEN PRESS.
Gila tak gila, tak cukuplah gila tidak gilakan kegilaan gila-gila yang menggila. Tergila atau digila, bukan gila biasa. Ini, kita. Kita yang gila. Buku GILA, harus mempergilakan kau dengan maha-gila.
30 Mar 2015
DESUSASTERA: UFTI
Sungai, sudah tersumbat di belakang pondok. Ada pun alirannya dahulu deras menebas, sekarang perlahan cocok berbatas-batas. Sebermulanya ranting pepohon meredup dipatahi angin kencang, menzahir sebuah empangan alam baharu di buritan sungai. Kerikil di dasar air tidak lagi memantul. Bendalir kejernihan bak cermin kini kian luntur. Asonansi serakah manusia ingin berubah, lalu mengubah kederasan sungai.
Dipacaknya pula cerucuk-cerucuk batu ke lantaian sungai terdalam. Sehasta menjadi sedepa, sedepa menjadi berelung-relung. Cerucuk padat menghimpap tukun-tukun yang dibikin berdekad Sang Keli ulung. Beranda-beranda batu dipuja bagai sejadah. Sesekali beranda batu dikucup ghairah. Ada juga manusia ingin membilas kain tapi gayanya bagaimana? Jujukan batu meleper, airnya sungai sudah nipis mengalir. Maka, kain pakaian kekal berdebu. Pakailah kau wahai anak-anak, pakaian yang ibumu bekalkan tak sebanding kain manusia di dalam beranda batu.
Meninja secara tersorok dek malu kepada sungai. Dahulunya meninja merata penanda ceria; akan tetapi sungai didiami rantaian fauna asing, terus—penghuni pondok malu. Apa yang ada pada sungai kini? Mengail sudah sukar. Mendobi juga sukar. Gusar ibu-ibu si pondok mahu melepas anak-anak bermandi-manda, kerna ada tompok-tompok lekit seakan minyak memeta di permukaan sungai. Jika jatuh sakit, penawarnya bukan sedikit, pasti upah tabibnya membukit.
Akhirnya, ada kaki gergasi memijak sungai. Pemeluk Si Badang pun tak terpeluk kakinya. Gergasi benar alik romannya. Sejak dari itu, sungai tersumbat—mampat. Ada pun kaki gergasi akan diangkat hanya membenarkan air sungai mengalir menitis-nitis di buritan; hatta bertempiaranlah penghuni pondok kecil mengangakan mulut sekangkang-kangkangnya menakung titisan di dalam rongga tekak. Perihal zalim itu pun, datangnya dengan bersyarat.
Syaratnya mudah, sebagai hamba abdi, wajib bayar ufti.
Subscribe to:
Comments (Atom)

