30 Mar 2015

DESUSASTERA: UFTI

Sungai, sudah tersumbat di belakang pondok. Ada pun alirannya dahulu deras menebas, sekarang perlahan cocok berbatas-batas. Sebermulanya ranting pepohon meredup dipatahi angin kencang, menzahir sebuah empangan alam baharu di buritan sungai. Kerikil di dasar air tidak lagi memantul. Bendalir kejernihan bak cermin kini kian luntur. Asonansi serakah manusia ingin berubah, lalu mengubah kederasan sungai. 

Dipacaknya pula cerucuk-cerucuk batu ke lantaian sungai terdalam. Sehasta menjadi sedepa, sedepa menjadi berelung-relung. Cerucuk padat menghimpap tukun-tukun yang dibikin berdekad Sang Keli ulung. Beranda-beranda batu dipuja bagai sejadah. Sesekali beranda batu dikucup ghairah. Ada juga manusia ingin membilas kain tapi gayanya bagaimana? Jujukan batu meleper, airnya sungai sudah nipis mengalir. Maka, kain pakaian kekal berdebu. Pakailah kau wahai anak-anak, pakaian yang ibumu bekalkan tak sebanding kain manusia di dalam beranda batu. 

Meninja secara tersorok dek malu kepada sungai. Dahulunya meninja merata penanda ceria; akan tetapi sungai didiami rantaian fauna asing, teruspenghuni pondok malu. Apa yang ada pada sungai kini? Mengail sudah sukar. Mendobi juga sukar. Gusar ibu-ibu si pondok mahu melepas anak-anak bermandi-manda, kerna ada tompok-tompok lekit seakan minyak memeta di permukaan sungai. Jika jatuh sakit, penawarnya bukan sedikit, pasti upah tabibnya membukit. 

Akhirnya, ada kaki gergasi memijak sungai. Pemeluk Si Badang pun tak terpeluk kakinya. Gergasi benar alik romannya. Sejak dari itu, sungai tersumbatmampat. Ada pun kaki gergasi akan diangkat hanya membenarkan air sungai mengalir menitis-nitis di buritan; hatta bertempiaranlah penghuni pondok kecil mengangakan mulut sekangkang-kangkangnya menakung titisan di dalam rongga tekak. Perihal zalim itu pun, datangnya dengan bersyarat. 

Syaratnya mudah, sebagai hamba abdi, wajib bayar ufti. 

No comments:

Post a Comment