Jika ditanya mengapa saya menulis, ada
beberapa jawapan diri yang saya sendiri sukar klasifikasikannya. Benar atau
tidak? Kamulah yang harus menentukannya. Kalau ditanya pada mata, jawabnya
kerana mata ini penat melihat bahasa semberono penerbitan yang gah. Kalau
ditanya pada telinga, jawabnya kerana telinga ini penat mendengar celotehan DJ
yang ketawa dengan jenaka mengecewakan dan kekaguman saya akan ucaptama
menteri-menteri. Kalau ditanya pada hidung, jawabnya kerana hidung ini penat
menghidu gula-gula kapas kapitalis dan ideologi yang wangi di luar, tengik di
dalam. Kalau ditanya pada hati, jawabnya kerana hati ini penat menangkis
obsesi. Obsesi pada hati-hati masyarakat yang menganggap apa sahaja obsesi
mereka merupakan suatu obsesi yang konklusi. Dek kepenatan ini, saya tidak ada
cara lain, selain mengangkat pensel lalu berkira-kira tentang kepenatan apa
yang harus saya basmi di atas kertas kosong ini.
Namun seperti biasa, saya tidak mampu
menulis tanpa kehangatan secangkir kopi di sisi. Apakala hirupan meruwap pahit
itu menongkah akal, mungkin jari-jemari saya galak menari dek idea yang mangkin
tersalur indah. Kerusi kosong di hadapan saya tidak berkata-kata, orang-orang
di kedai makan ini semakin ramai dan kipas masih terpusing rancak. Tapi pusingannya tidak
serancak pembuluh darah di dalam otak saya. Otak saya kontang idea. Pembuluh
darah ini barang kali tersumbat akibat kepenatan dunia yang memenatkan diri
mereka dalam kancah hidup selesa mengikut arus perdana, serta ketawa mengikut
humor berselingan kejian semata. Tidak mengapa, penulisan mesti diteruskan.
Orang
kata, lambakan idea-idea banyak terpapar di laman sosial. Mudah. Saya ambil
keputusan untuk menyinggah ke laman Facebook. Susur masa laman itu sarat dengan
gambar. Ada sebuah gambar perempuan separuh bogel sedang bergembira di Pulau
Sipadan. Dadanya membusung dan lubang pusatnya tidak begitu bulat. Ya, dia
ialah kawan saya. 479 like dan 177
komen.
‘Sedapnya kalau dapat bergambar
bersama.’
‘Comelnya awak!’
‘Hai. Terima kasih kerana menerima saya
sebagai rakan FB.’
‘Ah! Saya juga mahu bikini begitu!’
‘Awak, mesej saya jika mahu jadi model
sambilan.’
Cukuplah 5-6 buah komen yang saya baca.
Sebahagiannya ibarat mahu menerkam kawan saya lalu menggesel pipi ke pipi
sambil liur berjejeran. Manakala sebahagian yang lain berkelahi menyatakan
bikini itu tidak sepadan dengan kejelitaan kawan saya. Ada 3-4 buah komen berkenaan
dosa dan neraka, dan komen itu pula dibalas dengan jolokan-jolokan hujah
liberal tidak tentu hala. Jika esok berlakunya kiamat pun, pesta perlu
diteruskan. Saya keliru, walhal ramai juga mereka yang berprofil gambar
berketayap yang juga berstatus kawan mutual
kepada kawan separuh bogel saya itu. Kekeliruan ini tidak boleh diubati dengan
kopi. Lalu saya menyucuh sebatang rokok. Tidak mahal, rokok seludup. Orang
macam saya yang mengelak membayar cukai rokok, membikin kuota permintaan rokok sebegini
meningkat. Salah atau tidak, mereka yang beruniform segak di meja sebelah turut
menghembus asap daripada jenama rokok yang serupa dengan saya. Tiga calit,
berbual-bual dengan dua calit, ditemani seorang lelaki tua bertali leher.
Pentas parti politik dan ideologi ala
intelek juga satu medan perang saudara di Facebook. Cina bodoh makan babi, Singapura mahu takluk Malaya, hak Malaysia hak
Melayu, tanpa bangsa lain negara akan mundur, skandal seks ikon-ikon politikus,
para sosialis demokrat mengumpan teknokrat tegar, wang-wang
berjuta-beribu-berbilion masuk poket sini-sana; cukuplah. Gula-gula rakyat
ultima dan manipulasi ‘berjuang kerana rakyat’ belum bergema. Pilihanraya,
nampaknya masih lambat lagi. Kitaran balas-membalas kata-kata falsafah dan
fahaman politik seperti ular yang giat memakan ekornya sendiri. Dikunyah-kunyah,
namun tidak ditelan. Saya yang gila atau laman sosial ini yang menggilakan? Oh,
sebentar! Saya hampir terlepas pandang seorang kawan saya berkongsi video
amatur rakaman seekor beruk yang menari Cha-Cha. Nah, kalau Darwin masih hidup,
pasti dia juga tertawa, seperti saya. Video itu akhirnya berjaya menenangkan
saya. Cukup tenang. Malah saya juga hampir terlupa tujuan utama saya memiliki
ribuan kenalan di Facebook. Saya hampir terlupa yang saya perlu menulis tentang 'mengapa saya perlu menulis'. Tulisan-tulisan di laman Facebook, sungguh
membahayakan intipati minda saya.
Lelah dengan telahan komen dan status
panjang, saya beransur masuk ke susur masa Twitter. Twitter lebih santai dan
informatif. 140 aksara maksimum untuk 1 tweet. Sebanyak 714 akaun twitter yang
saya ikuti. Barangkali lubuk idea boleh terpacul dari sini. Ibu jari saya giat
menguis-menguis dan sesekalinya menjempol di papan pemuka telefon. Tapi akhirnya, saya masih keliru.
Keliru samada ini adalah Twitter atau
aplikasi sosial sembang-sembang dengan mesej pendek.
‘Aku lapar.’
‘Tiada orang yang rindu saya?’
‘Itulah, sokong lagi parti cina.’
‘Mahathir paling bagus! Kami mahukan
Mahathir!’
‘Kacaknya jejaka kat depan aku ni.’
‘Bangang dan seksi betul, cuba baca link ni: xxxxxx.’
‘Hai, nama awak Aida? I dah lama suka kat you.’
1 jam telah berlalu, dan mata saya masih
terpana di susur masa Twitter. Di mana idea untuk menulis? 3 cawan kopi dan 2
batang rokok telah saya selesaikan. Sekawanan perempuan jelita yang
bertukar-tukar pil di bawah meja, bersebelahan saya tadi pun, sudah pulang. Cuma
asap rokok mereka yang masih kuat berbau. 3 calit dan 2 calit tadi pun sudah
beredar setelah Nasi Kandar beraneka kudapan lauk mereka habis diratah dan
orang tua bertali leher itu yang membayarnya. Sekarang, apakah sebenarnya yang
dunia mahu saya tulis berpaksikan internet dan laman-laman sosial hebat
sebegini, yang masih berkiblatkan obsesi sendiri? Hipokrasi. Itu, perkataan
yang terus muncul. Perkataan itu juga perlahan-lahan berdiri di atas meja saya.
Jari telunjuknya menuding-nuding kepala saya. Ah, mamak! Cepat kira!
Saya harus pulang segera. Idea 'mengapa saya menulis' masih belum kunjung tiba. Degil nampaknya kepala saya malam ini. Dalam kereta,
saya putarkan punat radio. Kita harus berterima kasih kepada pengusaha stesen
radio swasta/kerajaan. Pulas sahaja kepala punat radio di dalam kereta lewat
malam, hujung senja atau seawal pagi hendak ke pejabat, nah, pelbagai pilihan
yang memenuhi selera masing-masing akan tersembul bunyinya.
Bzz..."Liking Liking Poking Poking baginya"
Bzz... "Ku Jejak, Jalan Yang Berliku"
Bzz... "Sexy and I know it... Cetup Cetup"
Bzz... "Bring me up, Buttercup Babeh"
Bzzz...
...dan banyak lagi kalau hendak disenaraikan satu-persatu. Macam-macam.
Seawal pagi semasa bersiap bekerja, di dalam kereta, di dalam pejabat, di
tempat makan, di dewan kuliah bertemankan earphone,
di stesen minyak dan tidak lupa juga tatkala berada di rumah. Hidup kita tanpa
kita sedari, dihujani alunan celotehan DJ dan lagu putaran mereka melalui
corong radio. Persoalannya, yang mana satukah stesen radio pilihan saya untuk menyuntik idea-idea penulisan saya. Hal ini kerana,
telinga dan tahi telinga manusia itu berbeza-beza. Ada telinga yang capang, ada
telinga yang kecut, ada tahi telinga yang kering dan ada tahi telinga yang
basah. Telinga saya, comel-comel sahaja. Hatta, sangatlah subjektif pendirian
seseorang terhadap stesen radio pilihan hati (dan telinga) mereka (juga saya).
Industri hiburan Malaysia masih dengan dasar tertutup.
Mengapa? Jika lagu Jimmy Palikat yang sudah berzaman-zaman dicipta tetapi jika tidak
diangkat oleh peserta Maharaja Lawak, maka seantero Malaysia tidak pernah kenal
pun siapa itu Jimmy Palikat. Bagaimanakah artis muzikal eksperimentasi seperti
Monoloque (dahulunya cebisan Butterfingers), Maharadja (Tamil) atau Pop Shuvit
(New Age) hendak menembusi hati
pendengar dengan kualiti muzik mereka yang agak baik jika hanya penumpuan stesen
radio tempatan mengamalkan double-standard
terhadap jenis bahasa, lagu, selebriti dan kaum tertentu.
"Pilu... pilu sepilu-pilunya, mungkin engkau tak mengerti...
Ohooo...!"
Tanpa sedar, bibir saya terikut sama bersiul lagu itu. Setan!
Sedap pula lagu tu! Tenanglah wahai jiwa. Saya harus putarkan punat radio lagi agar
idea menulis boleh seimbang. Eh, terkeluar runut tamil. Kedai mamak tadi mesti suka
lagu ini. Macam-macam ada di radio. Itu belum lagi cerita tentang cara hidup
dan isu semasa mengikut kaum dan kawasan. Contohnya, artis Kugiran Tamil yang
mampu menghasilkan kualiti muzik seperti Kitaro, rasanya terlampau kurang orang
kita tahu. Cerita melodi dan alat muzik Kadazan atau Iban yang dikomersialkan, yang
itu, saya juga tidak tahu. Jadi, jika stesen radio pun tidak menyumbang kepada
perpaduan dan pengetahuan sesama masyarakat satu negara, tidak hairanlah
pergaduhan dan perselisihan faham dengan beraspekkan kaum, agama serta kenegerian
berlaku di mana-mana di Malaysia. Yang mana masih ada di segenap jantung
masyarakat kita hanyalah: Aku orang
melayu. Kau cina. Aku Sabah Bah. Kau Kelantan negeri perogol. Kami Hokkien dan
kami bangga dilabel ‘banana’. Kamu semua Singh. Kau totok negeri
pembangkang. Aku islam, syurga tempatku, kamu pula ke neraka!
Syukur, saya, masih di bumi.
Saya matikan radio dan teruskan perjalanan ke rumah. Stesen
pilihan radio saya yang aktif berbicara isu semasa juga hanya memutarkan
lagu-lagu pelik dan seolah-olah ingin menjadi stesen ter-hipster dan
ter-intelektual nasional. Radio pun gagal menyumbangkan idea kepada saya untuk
membakar api kobaran saya untuk menulis, mengapa saya perlu menulis.
Tiada lagi tempat sesejahtera syurga atau sebahang neraka
selain rumah sendiri. Saya perlahan-lahan, campakkan satu-persatu barang di saku celana ke atas
meja makan. Peti ais, hanya ada sebotol air sejuk dan sandwic yang sudah 2
minggu luput tarikhnya. Mee segera? Terpaksa. Tapi, saya tetap kecewa. Lalu saya
berbaringan di sofa. Buku-buku di rak pula kini memandang saya dengan pandangan
yang sinis. Hampir 2 buah petak-ruang rak buku yang saya belum habis
membacanya. 20 buah buku itu memandang saya tanpa jemu. Cuma saya yang
semakin jemu memandang mereka. Buku yang lain, sudah tidur. Saya sudah
membacanya. Saya berdiri di hadapan rak kerana tercabar dengan pandangan sinis
lagi memberahikan buku-buku yang masih terjaga. Saya tahu, ya kalian juga tahu,
hanya dengan cara membaca dapat membanjiri idea untuk kita sama-sama terus
menulis.
Saya ambil buku Nyanyian Seruling karya Rumi—saya belek, pening,
dan saya letak semula.
Saya ambil buku Para Perempuan Perkasa karya Ready
Susanto—saya belek, tebalnya, dan saya letak semula.
Saya ambil buku Frekuensi Proletar karya Azhar Ibrahim dan
Achmed Adam—saya belek, metafora pelik betul, dan saya letak semula.
Saya ambil buku Kumpulan Certot Gila terbitan Lejen
Press—saya belek, tak gila pun, dan saya letak semula.
Saya duduk kembali ke sofa, saya ambil alat kawalan jauh,
tekan, dan TV pun menyala. Rancangan ulangan drama cinta 13 episod slot Akasia.
Saya tekan alat itu lagi, terpacul rancangan temubual menjengkelkan kelolaan
selebriti negara. Saya tekan sekali lagi, JDT beli pemain handalan baharu,
hebat cengkaman institusi raja-bola sepak negeri itu.
Saya, tertidur.
Tanpa sempat menghadap Tuhan, tanpa mengecaj telefon, tanpa
membaca apa-apa, tanpa makanan berkhasiat di peti ais, tanpa sebarang hasil
tulisan, tanpa siaran radio yang memuaskan, tanpa rancangan TV memikat hati, tanpa
berita gembira di internet, tanpa asakan manifesto pilihanraya pada masa
terdekat; saya pun terjaga. Selepas kamu dan saya membaca sama-sama kisah pencarian pokok penulisan ini, jangan-jangan kamu sudah ber-idea yang kamu
perlu menulis kerana apa. Ya, kerana saya juga sekarang tahu...
'kenapa saya harus menulis?'
***
No comments:
Post a Comment