
Masyarakat yang melabel diri mereka lebih sastera daripada sastera lain ialah masyarakat yang gagal. Malah membakul-sampahkan sesebuah karya yang diperbandingkan dengan subjek perbandingan yang salah adalah satu tragedi memilukan sastera itu sendiri. Umpama membandingkan kecomelan kucing dan kecomelan anjing. Poster tidak sedar diri di atas saya petik dari akaun Facebook 'Wiyaz Mihaz' yang cuba menunjukkan beliau mempunyai sepasang kaki sastera yang kukuh untuk menerajang sebuah bakul sampah yang diisi oleh sastera yang diludahnya. Abang dan kakak-kakak sastera sekalian, ini yang mahu saya sampaikan.
1. Novel SALINA bukanlah novel yang susun atur sasteranya baik. Malah novel itu tergolong dalam label sastera-popular. Malah dalam penilaian untuk mengangkat Samad Said menjadi Sasterawan Negara, novel SALINA bukanlah pemberat yang utama.
2. Satu lagi masalah di Malaysia adalah marhaen gemar membuat perbandingan tidak setaraf. Karya Shanon Ahmad dan Usman Awang seharusnya dibanding dengan karya penulis lebih muda seperti Dr. Anwar Ridhwan atau SN yang baharu, Zurinah Hassan, atau dengan ramai lagi penulis-penulis golongan kiri yang baik tulisannya. Mengapa bandingkan sastera-tulen yang diiktiraf DBP dengan karya sastera-pop cinta?
3. Tahukah anda bahawa Kedai Buku di dalam DBP itu sendiri menjual karya-karya penerbitan sastera-pop cinta. Malah tidak terhitung dek jari-jemari bilangan karya dan penerbit yang berlumba-lumba diberikan rak khas oleh DBP untuk mempamerkan buku-buku mereka. Apa prinsip DBP sendiri dalam perihal ini? Masih salahkan industri? Jika begitu, sejauh mana penetrasi sastera-tulen (konon tulen) itu menembusi kedai-kedai buku di Malaysia? Ya, menyedihkan.
4. Perkara ini bukan baharu. Bukan hanya seputar untuk isu perbukuan. Terpalit juga bagi isu muzik, drama, filem, teater dan sebagainya. Ada orang mendengar muzik bukan di radio, ada orang menaruh seleranya pada radio. Radio pula ada bermacam-macam stesen. Jangan kau bandingkan mereka yang telinganya dipateri di HotFM dengan orang yang mendengar BFM. Jangan juga kau bandingkan orang yang dengar BFM dengan orang yang taksub Jazz & Klasikal. Jangan. Sebab? Perbandingannya tidak setaraf.
5. Yang membaca sastera-pop mengatakan sastera-tulen (konon tulen) terlalu berat syok sendiri dan tidak berjaya ayak emosi melalui persekitaran. Yang membaca sastera-tulen (konon tulen) pula mengatakan sastera-pop dan sastera-marjinal adalah golongan rendah, sampah, lemah. Ada kitarannya. Macam gagal bertemu noktah. Hanya tanda seru yang berjujuk-jujuk.
6. Sejauh manakah kemudahan masyarakat untuk mendapatkan karya-karya yang kononnya berkualiti tinggi dan tak lekang zaman tersebut? Boleh dibeli di kedai buku PKNS? Mudah didapati di kedai buku Popular? Atau mempunyai berjujuk-jujuk rak khas di kedai Kinokuniya? Perjuangan apakah yang sedang disentimenkan masyarakat dan DBP itu sendiri jika kita yang mahu dapatkan buku-buku yang mempunyai nilai sastera berkualiti ini, sesukar kita bernafas di dalam air laut yang meninggi? Malah sesiapa yang memiliki buku-buku tersebut mengatakan beliau sudah cukup langka (rare) dan unggul (hipster) lalu memperkotak-katikkan karya lain yang bersepah di pasaran. Sedangkan, mereka sendiri tidak membicarakan karya yang dimilikinya itu apatah lagi mahu berkongsi dengan masyarakat lain. Baik beli buku sastera pop-cinta kerana itukan lebih mudah? Itu, kata pengunjung kedai buku arus perdana. Zaman syok sendiri di bawah tanah dan narsisis terhadap karya langka anda tidak menyelesaikan isu sampah ini sehingga bila-bila.
7. Dasarnya, mengapa tidak dibina jambatan merentasi label-label dan fahaman ini? Karya pertengahan di antara ketiga-tiga golongan (atau label) mesti diangkat segera. Bukan sahaja dalam perbukuan, malah dalam industri seni lain. Kerana tanpa jambatan, pulau tidak bersambung. Kerana budaya sampah-mempersampahkan sesama sendiri, merobohkan jambatan yang baru hendak dipasakkan tiangnya.
Kesimpulannya, mereka yang membandingkan kedua-dua label buku seperti poster itu ialah mereka yang menjerit meminta tolong kepada dunia di dalam tin kosong, menunggu sebuah lori kontena untuk melenyekkannya dengan omong.
BAMMM!!!
Mati.
No comments:
Post a Comment