21 Feb 2015

MEJA AJAIB

Angin membawa hablur-hablur haba meniup memasuki jendela rumah. Orang kata hari ini harinya kiamat. Aku tengok burung bertenggek meriah di atas kabel-kabel telefon haram di rumah sebelah. Mana mungkin datang badai kiamat jikalau haiwan semua masih berjoget tenang. Seraya aku persetankan kata-kata itu. Kemudian terdetak idea di dalam otak, nescaya aku gagal untuk mempersetankan kata-kata itu kerana kata-kata itu merupakan kata-kata aku sendiri. 

Dalam dunia serba liberal ini, mana mungkin empunya diri mahu mengaku silap atas pandangannya sendiri. Sebenarnya; bukannya apa, cuma cuaca hari ini denting bahang menikam selaput kesabaran diri. Aku geram melihat termometer terlekat kaget di bahagian atas muka pintu peti sejuk; yang mana penanda-arasnya menunjukkan 40.5 darjah selsius. Sambil celahan liang ketiak berjurai memuntahkan cecair tak mesra, dek kerana geram, aku kuat merasakan ini semestinya dunia mahu kiamat. 

Saat itu layar-layar emas terbentang secara maya. Ada objek seperti lembaga aku sendiri waktu muda-muda, sedang meneguk sebotol Heineken mengilai sakan bersama-sama wanita-wanita yang mana memiliki buah dada tersembul padu. Juga ada duit berterbangan. Bukan Ringgit Malaysia tetapi Dolar Amerika. Itu menunjukkan kemewahan durjana aku muda-muda dahulu. Layar-layar itu menginsafkan aku. Tapi baru aku terngiang teringat. Aku baru sahaja berumur 11 tahun sekarang. Masakan aku mampu meneguk arak atau mempunyai rakan wanita yang potongan badannya mengalahkan Cikgu Suzan? Horlick Ais pun aku tak pernah teguk, inikan pula arak Heineken. 


Aku tahu botol hijau itu ialah minuman keras kerana dalam bayangan maya tadi seolah aku sedang berada di kelab malam. Mengikut drama Melayu yang pernah aku tonton, jika di kelab malam, pastinya watak-watak jahat melakonkan aksi seorang pemabuk; mana mungkin melakonkan aksi seorang Tabligh. Kawan-kawan perempuan aku pula tidak ke kelab malam. Mereka hanya samada aktif dengan Kelab Matematik ataupun Kelab Masak-Memasak kelolaan Cikgu Suzan yg sering sengaja menunduk ke arah meja. 

Aku kini bingung. Jika bahang panas ini membawa kiamat sekali pun, aku pasti ke syurga. Ya aku tahu. Kerana mimpi basah yang aku idam-idamkan belum tiba mendatangi lenaku. Jadi aku belum akil baligh. Perlahan-lahan aku berkata 'Yes' di dalam benak hati. Kalau aku mati, bapak yang akan menanggung segala dosa. 'Hehe' herdik mindaku yang licik. Ada syaitan tiba-tiba datang membisik. Syaitan itu hadir dengan seorang kawan. Aku kurang pasti samada itu kawan aku atau kawan syaitan; kerana kedua-duanya seakan sama. Cis! baru aku mengerti agak sukar membezakan mana satu syaitan mana satu kawan. Atau kawan adalah syaitan dan syaitan adalah kawan? 

Salah seorang dari mereka datang menyuruh aku berdansa ria di tepi meja kerana aku tak akan ke neraka walaupun kiamat akan datang bila-bila pada hari ini. Ewah.. Ewah.. aku memulakan langkah. Pelik juga. Bagaimana aku yang kasut sekolah pun ibu basuhkan, tapi mampu mendengar pelawaan syaitan? atau kawan? Lantak. Aku tidak peduli. Aku terus menari. Sekejap ke kanan sekejap ke kiri sedari tadi. Ada sedikit aku meniru gaya Poco-Poco. Kadang-kadang pincang langkah menjadi seperti Zumba orang-orang tua. Seronoknya hari ini akan kiamat dan aku akan ke syurga! Aku mendekatkan diri bersebelahan meja dapur. Aku mula bermain gendang jari di atas meja. Pap.. Padapap.. Pap.. Padapap..

Oh, ada sekeping foto di pojok bucu meja, kemas dibingkaikan. Foto wajah seorang lelaki tua berjambang dan ada tulisan dengan pen marker merah. Aku fikir orang itu pasti sudah tiada kerana foto itu klasik, hampir ranap dimakan anai-anai. Tulisannya kabur;

AYAH DALAM KENANGAN - 13 JANUARI 1995

Aku capai bingkai foto itu lalu menenung rapat-rapat. Foto dipegang semakin lama semakin dekat ke arah iris mataku. Wajah di foto serupa dengan wajah bayangan tadi. Tak sangka rupa-rupanya bayangan boleh mati dan dibingkaikan. Aku jadi liat untuk berhenti menari-hingga lesu sendi kaki. Tekak menjerit memahukan air. Dahaga. Aku melangkah ke arah peti sejuk sambil kagum memikirkan langkah-langkah Poco-Poco yang aku reka sendiri tadi. Pintu bawah peti sejuk ditarik. Aku terus tutup semula tanpa mencapai apa-apa walhal peti sejukku penuh terisi. Bukan kerana aku sudah hilang haus, tapi aku terpandang kalendar tergantung di dinding sebelah peti sejuk. Hari ini; 


12 JANUARI 1995.   

No comments:

Post a Comment