10 Oct 2014

ESEI: Globalisasi Internet Tun M

Dasar globalisasi dan kadar keterbukaan masyarakat madani kepada penerapan budaya luar sudah semakin menular. Internet, menjadi satu medium serangan bertubi-tubi dengan saratnya informasi daripada aspek sekecil 'Bagaimana menghilangkan kesan darah dari pakaian' hinggalah aspek sederas momentum 'Bagaimana sistem monarki di gagasan komanwel mengawal demokrasi dan ekonomi liberal'. Hari ini, pelbagai sambutan hari sedunia dapat dikongsi dan diadapasi oleh seluruh negara di peringkat nasional mahupun di peringkat yang lebih berskala kecil. Tertarik aku dengan pemakluman hasil temuduga bersama Tun Mahathir oleh Berita Harian pada 3 Jun 2012 di dalam sisipan ruangan Rencana yang berbunyi:


Soalan: Tun dilihat sebagai pejuang kebebasan internet dan menentang sebarang bentuk penapisan di ruang siber ketika Tun masih berkuasa. Tidakkah Tun terfikir terdapat terlalu banyak bahan di internet yang melampaui batas seperti tuduhan liar dan tidak berasas, fitnah, kurang beretika, pornografi dan sebagainya dan masalah ini perlu diperbetulkan sebaik mungkin demi kepentingan keadilan, etika dan moral. Adakah sekurang-kurangnya perlunya peraturan kendiri seperti kod perlakuan?
Tersenyum lebar ketika aku baru membaca soalan ini kerana jika aku yang dilontarkan pertanyaan sebegitu, aku hanya akan membalas dengan spontan: 'Boleh ulang semula soalan?' Ahaks. Panjang lebar sangat bunyinya. Hendak memahaminya pun terpaksa ambil sedikit masa walhal hanya beberapa potong ayat pertama dan beberapa potong ayat terakhir yang sangat penting untuk diolah. Lebih tersenyum lebar aku dengan jawapan mantan Perdana Menteri terhebat tanahair dan aku berkata jauh di dalam sudut hati aku; 'padan muka!'

Jawapan Tun: Apabila saya menyatakan TIDAK harus ada penapisan di internet, saya benar-benar TIDAK menyedari kuasa internet, kuasa untuk menurunkan nilai moral, kuasa untuk menimbulkan masalah dan kemarahan. Moral anak muda kini terjejas kerana adanya kemudahan untuk mengakses pornografi yang mana sebelum ini majalah dan senua itu dilarang daripada memasuki negara ini. Sekarang ia terlalu mudah serap sehingga kita tidak boleh menghalang bahan ini daripada memasuki negara kita. Oleh itu, kita perlu memikirkan semula kebebasan mutlak yang diberikan kepada internet. Sudah tentunya jika boleh ada kawalan, memang baik. Tetapi jika peraturan itu dilanggar, perlu ada kuasa untuk menguatkuasa dan menghukum.

Ok. Itu sebahagian daripada keseluruhan temuduga bersama Tun oleh wartawan BH. Semua orang sedia maklum bahawa penaklukan Tun semasa menguasai kerusi PM Malaysia adalah dengan dasar diktator dalam demokrasi. Tapi lihat sahaja kemajuan dari segi pembangunan dan ekonomi yang telah Tun sumbangkan kepada tanahair. Tidak ternilai dek kata-kata. Syabas buat Tun. Namun, binokular atau teleskop yang boleh melihat masa depan yang dimiliki oleh Tun, langsung tidak terpakai malah telah disalahguna di dalam melihat arena internet sebagai kuasa yang amat dasyat dan tenat. Lihat sendiri, Tun telahpun mengaku bahawa beliau tersilap dengan perjuangan kebebasan tanpa sempadan internet satu masa dahulu.

Maka disebabkan itu, individu dan parti-parti haluan kiri berjoget kegembiraan kerana dapat menggunakan medium internet sebaik mungkin. Lanjutan itu, bercambahlah akta-akta dan pindaan perundangan baru yang langsung tidak masuk akal yang diluluskan secara tergesa-gesa oleh kabinet parlimen; bertujuan bukan untuk mengawal pornografi ataupun budaya  luar tetapi mahu memperosokkan mereka yang menzahirkan pendapat umum terhadap kerajaan; ke dalam jeriji besi penjara. Dalam zaman yang serba-godam dan saling-mengaibkan ini, sila terangkan kepada aku bagaimana sesuatu emel, IP Address, Internet Account, Facebook Account, Twitter Account, Blogger dan sebagainya dapat membuktikan diri tidak bersalah? Baca lebih lanjut pindaan akta terbaru di sini:

Di sini, aku tolak tepi dahulu isu keruntuhan akhlak dan masalah sosial yang kononnya 100% berpunca daripada internet yang tiada kawalan yang mana pada pandangan aku tiada satu dasar atau peraturan pun yang boleh menjamin isu ini dapat melindungi segelintir remaja taksub dengan porno selain didikan penerapan agama itu sendiri. Budaya yang bukan berasal daripada kelompok nusantara, aku anggap sebagai budaya luar. Dengan adanya internet juga, penyelidikan dan pemahaman tentang satu-satu perkara yang sebelum ini samar-samar, boleh diperolehi dengan mudah. Cuma kegusaran timbul apabila kebolehpercayaan sumber bacaan juga boleh dipertikai atau diterima terus.